Bekas pelumba basikal negara, M. Kumaresan, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ketua jurulatih Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Ng Joo Ngan, bersifat perkauman dan pilih kasih.

Sebelum ini, wakil ibu bapa kepada pelumba KLCA, Nor Azila Abdul Razak, meluahkan rasa kecewa dengan layanan yang diberikan jurulatih itu umpama wujudnya layanan 'anak tiri' terhadap anak mereka.

Nor Azila turut meluahkan hasrat agar Datuk Razlan Razali menarik semula keputusan meletakkan jawatan yang diambil sebelum ini justeru terus kekal sebagai presiden KLCA.

Kumaresan, ketika mengulas mengenai perkara itu dalam satu kiriman media sosial hari ini, menafikan Joo Ngan seorang yang seperti itu.

"Ingin saya nyatakan kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Kalau kamu benar-benar kenal Datuk Ng Joo Ngan, takkan kamu sebut perkara sebegini.

"Berapa tahun kamu bersama Datuk atau lebih mesra dipanggil Uncle? Kami yang pernah berlatih bersama-sama beliau bertahun-tahun. Saya kenali Uncle masa umur saya 16 tahun. Memang garang, memang serius, memang pentingkan disiplin yg amat tinggi.

"Macam mana dia boleh dilabelkan rasis kalau rata-rata pelumba yang beliau latih menjadi juara dan digeruni oleh pelumba-pelumba lain?

"Daripada Arwah Ali Hasan, Arwah Yusuf Yudin, Arwah Abudllah Shafie dan ramai lagi dan saya sendiri yang duduk bersama beliau, tinggal di rumah dia, berlatih pagi petang, jaga makanan, jaga peribadi, jaga percakapan, hormat orang tua, itu semua Datuk ajar masa saya muda.

"Dia buat semua ni bukannya ada bayaran atau sesiapa bagi dia duit. Dia buat untuk duit? Tidak sama sekali. Untuk nama? Tidak.

"Tahu untuk apa? Hanya kerana negara. Demi mencungkil satu bakat. Kegembiraan beliau bila mana melihat anak muridnya menjadi sang juara," katanya.