Genap 24 jam selepas berakhirnya Le Tour de Langkawi (LTdL) Edisi Ke-27, penganjuran kali ini bolah dikatakan yang terbaik pernah dibuat dalam sejarah perlumbaan itu sendiri.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, menyifatkan kejayaan ini didorong usaha sama pelbagai pihak, termasuklah penaja hebat yang berganding bahu menjayakan perlumbaan berprestij itu.

"Setiap hari kami mengemas kini maklumat dengan pihak penaja.

"Apa yang penting adalah pulangan kepada penaja. Saya lihat sangat positif dan impaknya sangat besar.

"Saya yakin edisi ini telah membuka lebih ramai penaja," katanya di Nadi Weekend hari ini.

Kejayaan ini juga lebih manis apabila dua pasukan yang mewakili negara dalam LTdL 2023 tersenarai dalam kelompok lima pasukan terbaik Asia.

Ini termasuklah skuad berbasikal lebuh raya negara yang mempertaruhkan ramai pelumba baru dan membuktikan keupayaan di sebalik peruntukan kecil.



"Ini adalah era baru skuad lebuh raya kebangsaan. Dalam lapan peringkat perlumbaan, kami dapat tempat keempat dan kelima terbaik dalam kalangan peserta Asia.

"Tiga pasukan terbaik Asia mempunyai pelumba luar negara dan walaupun tidak mencapai sasaran (yang diharapkan) ada perkara positif yang lain berlaku," kata jurulatih kebangsaan, Yusof Nasir.

Dalam edisi yang menyaksikan Simon Carr ditabalkan sebagai juara keseluruhan, usah dilupa kisah Nur Aiman Rosli yang muncul pelumba terbaik negara dalam kemunculan pertamanya.

Lebih menarik, dia sanggup mengorbankan Sukan Asia Hangzhou demi LTdL.

"Pasukan banyak bantu saya untuk saya sampai ke tahap seperti sekarang.

"Memang berbaloi dalam usaha saya mendapatkan ranking dalam perlumbaan profesional," katanya pula.

LTdL musim depan pasti akan bertambah menarik dan dijangka banyak pihak akan menjadi penaja baru susulan kejayaan penganjuran tahun ini.