Pakar pecut pasukan Caja Rural, Daniel Babor, melakukan henjutan saat-saat akhir untuk muncul juara peringkat keempat perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sejauh 140.2 kilo meter dari Bukit Mertajam ke Meru Raya hari ini.

Ini merupakan kemenangan pertama pelumba kelahiran Republik Czech itu dalam perlumbaan di benua Asia.

Perlumbaan peringkat keempat itu bermula dengan agak mencabar dalam keadaan hujan lebat di Bukit Mertajam.

Dengan tiga zon pecutan dan hanya satu zon pendakian ditawarkan, lapan pelumba melakukan pecahan awal untuk berada di depan peloton.

Tumpuan terarah kepada pelumba Thailand Continental Team, Ratchanon Yaorat, yang menakluki zon pecutan pertama di Bagan Serai.

Menuju ke zon pendakian tunggal di Kuala Kangsar, seorang lagi pelumba Thailand, Thanachat Yatan, daripada daripada pasukan Roojai Online Insurans, muncul pelumba terpantas.

Menariknya, Ratchanon juga menjadi pelumba ketiga terpantas dalam zon pecutan kedua di Talang dan ini menjadikannya sebagai pelumba pilihan untuk menyarung jersi putih.

Tiga pelumba di kelompok depan akhirnya dihambat peloton pada baki enam kilometer terakhir dan di penghujung saingan, kelompok besar itu melakukan pecutan di 200 meter terakhir sebelum Babor melakukan henjutan untuk melepasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 3 jam 6 minit dan 5 saat.

Dalam pada itu, pelumba Bolton Equitties Black Spoke, George Jackson, yang memenangi peringkat ketiga semalam, berjaya merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan.

Babor berkata kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam: "Kami memiliki perancangan yang amat bagus hari ini dan kami melakukan 100 peratus.

"Bagi saya, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan kerana saya memiliki pasukan yang amat bagus di sini.

"Saya bukan berada dalam keadaan terbaik tetapi saya memiliki standard tersendiri dan kami melakukan kerjasama sepasukan yang amat bagus hari ini," katanya.