Atlet memanah recurve dan Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad, digugurkan daripada Program Podium.

Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh Khairul Anuar, yang melahirkan rasa kecewanya dalam akaun media sosial selepas mendapat surat mengenai penamatan kontraknya pada 22 Ogos lalu.

Dalam perkongsian tersebut, dia turut berpesan kepada atlet lain dalam sukan berkenaan bahawa tidak ada siapa yang akan mengambil peduli jika berlakunya masalah membabitkan mereka.

“Terima kasih juga dan semoga mendapat cari bakat seperti diinginkan. Pesanan buat atlet sukan memanah di Malaysia, kita sukan tak ‘famous’ (kurang popular) bila hal macam ini tidak ada orang ambil peduli.

“Kontrak ditamatkan 30 Jun, 1 Julai baru dimaklumkan kontrak ditamatkan. 22 Ogos baru keluarkan surat penamatan kontrak. Semoga berjaya cari bakat baru Paris 2024,” katanya.

Pada Julai lalu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengeluarkan kenyataan bahawa tiada jaminan tempat buat pemanah senior negara, Khairul Anuar, untuk diserapkan ke dalam Program Podium kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan, berkata Olimpian negara itu perlu bersaing dengan barisan atlet lain dan perlu melalui proses pemilihan yang dikendalikan badan induk itu sehingga hujung tahun ini.

Untuk rekod, Khairul Anuar, yang sudah beraksi dalam tiga edisi Sukan Olimpik bermula di London pada 2012, gagal menyerlah dalam Sukan Sea Hanoi, Mei lalu apabila sekadar membawa pulang dua gangsa, masing-masing dalam acara recurve individu dan berpasukan campuran sewaktu bergandingan dengan Syaqiera Mashayikh.


Kredit: Sinar Harian