Bekas jurulatih memanah pelapis negara, Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz, melahirkan keyakinannya terhadap potensi pemanah recurve muda negara, Ariana Nur Dania Zairi.

Selepas mengesahkan kelayakan ke Sukan Olimpik, Ariana tidak lagi berguru dengan Khalmizan dan kini dalam program podium menjalani persiapan bawah bimbingan legenda negara, Muhammad Marbawi Sulaiman.

Khalmizan percaya Ariana tidak akan terkesan dengan perubahan malah akan menjadi lebih cemerlang menuju ke Sukan Olimpik.

Difahamkan Khalmizan tidak menyambung kontraknya bersama skuad pelapis negara tetapi memilih untuk mengendali Selangor sempena menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) pada 17 Ogos depan di Sarawak.

"Atlet yang baru bersara perlu diberi peluang dalam bidang kejurulatihan.

"Ariana pula mempunyai potensi dan dia mampu beri saingan kepada pemanah lain.

"Dia sangat fokus kepada sesi latihannya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.