Atlet memanah recurve kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad, enggan meratapi kegagalan mara ke suku akhir dalam semua acara Sukan Asia Hangzhou yang disertainya biarpun hadir dengan reputasi selaku pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014.

Olimpian negara itu menyedari tahap keupayaannya kali ini selepas digugurkan daripada Program Podium tahun lalu.

"Tahap persembahan saya pada hari ini sebenarnya lebih baik dari semalam.

"Saya tidak fikir sangat pasal pihak lawan kerana persiapan yang serba serbi tidak cukup.







"Saya hanya fokus kepada apa yang perlu saya buat," katanya di Pusat Sukan Fuyang Yinhu hari ini.

Selain Khairul, Zarif Shahir Zolkepeli dan Syaqiera Mashayikh turut terkandas seawal pusingan ke-32 dan 64, sekali gus menyaksikan tiada wakil negara dalam saingan recurve di peringkat lapan akhir.

Namun, Syaqiera masih mampu membuktikan sesuatu dengan memecah rekod kebangsaan 336 mata memadam mengatasi catatan 330 mata milik Nur Aliya Ghapar pada 2019.