Pengurus skuad memanah negara, Datuk Johari Salleh, mempertahankan prestasi skuad memanah recurve walaupun tiada seorang pun wakilnya mara ke peringkat suku akhir Sukan Asia Hangzhou 2022.

Skuad memanah negara meraih satu pingat gangsa dalam acara compund berpasukan lelaki, sekali gus memperbaiki pencapaian dalam edisi di Jakarta-Palembang pada 2018.

Ia menyelamatkan kem negara di Hangzhou selepas kesemua pemanah recurve terkandas di peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, masih ada kemanisan buat skuad recurve dalam edisi kali ini apabila pemanah wanita, Syaqiera Mashayikh, memperbaharui rekod kebangsaan dengan 336 mata.

Dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Johari mengakui berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

"Kalau kita lihat prestasi skuad recurve, mereka terkandas dengan kekalahan hanya satu mata dan kalau dikira daripada segi pencapaian, ia agak memberangsangkan dan agak memuaskan.

"Kami akan pulang dan berbincang dengan persatuan kerana kami memiliki perancangan dan kami perlu berbincang dahulu kerana ada banyak perubahan," katanya.