Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia melantik badan pengawal untuk melaksanakan audit akaun penganjuran Sukan Komanwel 2026 sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menganjurkan temasya sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira semua maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh sukan.

“Paling utama KBS mahu memastikan tata kelola yang betul dipatuhi, pengurusan kewangan yang telus, segala kos serta belanja direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik.

“Saya percaya keputusan yang bakal diambil jemaah menteri akan mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat selari agenda Madani,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai keputusan kerajaan terhadap tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

Sebelum ini media melaporkan, badan persekutuan sukan itu menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri ekoran peningkatan kos penganjuran daripada $AU2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada $AU7 bilion (RM21.78 bilion).

Dalam pada itu Hannah memaklumkan, setakat ini kerajaan masih belum mengambil sebarang keputusan dalam isu tawaran penganjuran temasya sukan tersebut.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, perkara itu akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Jumaat ini.

"Namun KBS berpendirian akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dengan tidak membazirkan wang pembayar cukai sekiranya kerajaan bersedia untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk menganjurkannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF.

“Mengambil kira wang pembayar cukai terpaksa digunakan, mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan ialah tidak menganjurkannya. Yang ini kita kena tunggu keputusan Kabinet,” ujarnya.-Sinar