Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menuntut lebih ramai penerjun negara layak ke Sukan Olimpik Paris.

Hakikatnya ketika ini, hanya Bertrand Rhodick sahaja melepasi kelayakan ketika masa semakin suntuk.

Jefri tidak berselindung sekurang-kurangnya enam penerjun negara perlu mengikut jejak Rhodick menjelang Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, bulan depan.


"Kelayakan Olimpik untuk terjun telah diubah.

"Tiada pertandingan di peringkat benua untuk tahun ini dan hanya pertandingan dunia di Fukuoka, di mana Rhodick layak (setakat ini) selain di Kejohanan Dunia di Doha.

"Sebenarnya ramai atlet boleh merebut slot ke Sukan Olimpik dengan lapan dan 12 penerjun terbaik dalam kejohanan dunia akan terpilih.

"Mereka dalam prestasi terbaik dan saya harap mereka ke final (Kejohanan Duuia) untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik.


"Atlet negara mempamerkan prestasi terbaik dalam Sukan Asia dan Pengarah Teknikal, Bryan Nickson, sentiasa memantau prestasi mereka dan berbincang dengan jurulatih," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, sebentar tadi.