Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) mengumumkan sebuah program bagi persediaan ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 sudah pun bermula.

Penyelaras Jawatankuasa RTG 2024, Datuk Stuart Ramalingam, bagaimanapun mengumumkan pelaksanaan program Fast Track dalam misi mengejar pingat emas dalam Olimpik LA 2028 akan bermula sebaik berakhirnya temasya di Paris, Ogos depan.

Kelompok ini akan terdiri daripada atlet berumur 16 hingga 25 tahun dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan tempatnya khas buat pemenang Sukan Asia tahun lalu.

"Ada beberapa atlet yang sudah pun dimasukkan dalam RTG untuk jangka masa pendek mengikut kriteria (tertentu).

"Antaranya penerjun, Bertrand Rhodict Lises, selain membantu persediaannya ke Olimpik Paris," katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.

Tambah Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin: "Jumlah (peserta) akan bertambah dengan melibatkan atlet di sekitar ranking ke-20 dunia.

"Kami mahu lonjak prestasi mereka dalam masa empat tahun berbanding lapan tahun," katanya.