Pemenang hole-in-one hari pertama Kejohanan Golf Wanita Jelajah Toyota: Piala Vios, Pang Hee Jie, tidak mampu mengekalkan momentum terbaik hari ini selepas hanya mencatat 74 pukulan, 2 melebihi par di Templer Park Country Club.

Dengan lima bogey dan dua birdie, Hee Jie terpaksa akur gagal layak untuk saingan hari ketiga, sekali gus menamatkan perjuangannya kali ini.

"Saya merekodkan catatan yang lebih pada hari ini, dua kali hampir melakukan hole-in-one.

"Saya beraksi lebih baik hari ini tapi masih belum mampu ke pusingan seterusnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Serba tidak kena juga buat juara Piala Tun Ahmad Sarji, Geraldine Wong, yang jelas kecewa dengan prestasi yang dipamerkan pada hari kedua Piala Vios.



Bagaimanapun, dia menafikan cuaca sebagai penghalang untuk membuat pukulan lebih baik, selain berharap mampu memperbaiki catatan pada esok.

Geraldine hanya mencatat 75 pukulan, tiga melebihi par untuk satu birdie, dua bogey dan satu double bogey.

"Saya bagaikan pemain yang berbeza pada hari ini.

"Saya melakukan dua kesilapan besar berikutan bola menuju ke pokok," katanya pula.