Kejohanan berprestij Golf LPGA Maybank akan kembali dengan edisi kedua, yang bakal menampilkan cabaran lebih mengujakan, Kelayakan ASEAN, dalam usaha menyemarakkan aspirasi di Asia Tenggara dan menyasarkan untuk memperkasakan pemain golf profesional dan amatur wanita bukan LPGA ASEAN untuk bersaing dalam kejohanan bertaraf dunia.

Kejohanan Golf Maybank, yang diluluskan oleh LPGA, akan kembali menemui anda dari 24 hingga 27 Oktober depan di Padang Barat KLGCC dan dijangka akan menarik pemain golf terkemuka antarabangsa untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah AS$3 juta (RM14.13 juta), sekali gus menjadi kejohanan golf yang menawarkan hadiah kemenangan terbesar di rantau ini.

Penganjuran edisi pertama tahun lalu menyaksikan Celine Boutier, Nelly Korda, Lydia Ko dan Ruoning Yin menjadi antara 78 bintang antarabangsa yang bersaing dalam kejohanan jelajah itu.

Edisi tahun lalu juga turut ditamatkan dengan play-off sembilan lubang yang dramatik -- yang kedua terpanjang dalam sejarah LPGA - antara Boutier dan Atthaya Thitikul sebelum pemain wanita Perancis itu membawa pulang wang kemenangan.

Dengan menganjurkan acara bertaraf dunia itu, Maybank menyasarkan untuk membawa kesan kecemerlangan kepada komuniti, yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, memupuk keterangkuman dan meningkatkan komuniti tempatan. Pada tahun kemunculannya semula, penyiaran Kejohanan Maybank menjangkau lebih 170 negara dan 560 juta isi rumah, sekali gus mengangkat Malaysia dan rantau ASEAN ke peringkat global.

Acara ini juga dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan senario golf serantau dengan memberi peluang kepada pemain golf wanita ASEAN untuk memperoleh lima tempat yang diidamkan untuk bersaing dalam Kejohanan Maybank 2024.