Pemain golf profesional negara, Syahiran Syakir, akui misi mengulangi sentuhan cemerlang dalam Jelajah Toyota 2024 tampak sukar menjelang saingan pusingan kedua di Glenmarie Golf and Country Club hari ini.

Pemain berasal dari Kedah itu menjangkakan Piala Corolla Cross kali ini lebih mencabar kerana perlu berdepan cuaca tidak menentu di venue kejohanan itu.

Syahiran pamer aksi mantap dalam pusingan pertama di Saujana Golf and Country Club apabila menduduki tempat kedua dengan 212 pukulan keseluruhan.

"Minggu ini lebih mencabar kerana cuaca sangat panas," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Persaingannya juga bertambah kuat memandangkan ramai pemain tempatan akan pulang untuk bermain dalam kejohanan ini, di mana ia sesuatu yang baik juga untuk saya dapat bermain dengan mereka."