Hari terakhir Jelajah Golf Toyota Trofi Tun Ahmad Sarji 2024 menyaksikan juara Piala Alphard 2023, Galven Green, menampilkan aksi memukau untuk bergelar juara.

Dia mencatat 68 pukulan, empat di bawah par di Saujana Golf and Country Club hari ini untuk mengikut jejak abangnya, Gavin yang meraih kejuaraan serupa, dua tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu mengumpul 11 di bawah par untuk tujuh pukulan mengatasi pencabar terdekat, Syahiran Syakir.

Biarpun goyah ketika memulakan permainan dengan mencatat dua bogey di lubang ketiga dan kelima, dia kemudiannya mendapat rentak dengan menghasilkan tiga birdie berturut-turut di lubang keenam,tujuh dan lapan.

"Saya berasa yakin (dengan permainan sendiri) tapi selepas dua hari beraksi, ia mencabar.




"Saya cuma perlu kekal tenang dan bersabar.

"Seronok dapat menampilkan aksi yang bagus. Kejuaraan pertama sebelum ini melonjakkan motivasi saya, bukan mudah untuk mencipta kejuaraan pertama.

"Saya akan memburu gelaran kedua pula," katanya.