Bernie Ecclestone percaya Lewis Hamilton mungkin terdorong untuk bersara daripada Formula Satu (F1) selepas kehilangan kejuaraan dunia di Abu Dhabi dengan cara yang memilukan.

Bekas Ketua Eksekutif F1 yang meninggalkan jawatannya itu pada Januari 2017 mendedahkan dia telah bercakap dengan bapa Hamilton, Anthony, sejak pemandu Britain terbabit kehilangan gelaran kepada Max Verstappen.

Walaupun dia tidak mendapat gambaran jelas mengenai perancangan masa depan juara dunia tujuh kali tersebut dalam sesi panggilan itu, Ecclestone memberitahu akhbar Switzerland, Blick, bahawa dia berpendapat Hamilton mungkin telah mengambil keputusan untuk bersara.

"Saya tidak tahu tetapi saya tidak fikir dia akan kembali," kata Ecclestone.

"Kekecewaannya terlalu besar. Entah bagaimana anda boleh memahaminya. Kini sudah tiba masanya dan dengan tujuh gelaran dunia yang dicapainya seperti Michael Schumacher, dia mungkin akan memenuhi impiannya menjadi seorang usahawan fesyen."


A post shared by Lewis Hamilton (@lewishamilton)



Dia mendedahkan butiran perbualan dengan bapa Hamilton di telefon: "Saya serta-merta berasakan dia enggan menjawab persoalan mengenai masa depan anaknya.

"Jadi kami hanya bercakap tentang perniagaan."

Dalam masa sama, Ecclestone tetap kagum dengan kemampuan Verstappen dari Belanda memberikan cabaran.

"Dengan kehadirannya, Hamilton akhirnya menemui pencabar yang setara sejak sejak beberapa tahun lalu."