Max Verstappen masih sukar mempercayai dan berasa luar biasa selepas merampas kejuaraan Formula Satu (F1) untuk gelaran pertamanya menerusi gaya paling dramatik di Grand Prix Abu Dhabi, awal pagi tadi.

Verstappen memasuki perlumbaan terakhir musim ini dengan kelebihan mata yang tipis tatkala Lewis Hamilton memburu kejuaraan kelapan bagi melakar rekod terbanyak.

Bintang Red Bull itu mendapati sukar untuk menyaingi Hamilton yang sentiasa mendahului perlumbaan getir penentuan kejuaraan berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan pasukannya untuk masuk ke pit dan memilih tayar baharu pada lewat perlumbaan sementara tidak buat Hamilton selain campur tangan kereta keselamatan ketika perlumbaan berbaki empat pusingan lagi terbukti menjadi penentu.

Verstappen kemudiannya memintas juara bertahan itu di selekoh kelima pusingan terakhir untuk dinobatkan sebagai juara dunia kedua buat Red Bull selepas Sebastian Vettel.

"Ia sukar dipercayai," kata Verstappen.

"Saya berjuang sepanjang perlumbaan kemudian ada peluang dalam pusingan terakhir. Ia luar biasa.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya. Pasukan saya dan Honda berhak meraihnya. Akhirnya, sedikit tuah untuk saya!

"Pasukan saya tahu saya menyayangi mereka; saya harap kami boleh lakukan ini selama 10, 15 tahun bersama. Saya tidak mahu berubah sampai bila-bila. Saya mahu kekal bersama mereka sepanjang hayat saya seandainya mereka mahukan saya.

"Saya sangat gembira. Matlamat kami adalah untuk memenangi kejuaraan ini apabila kami bersatu dan kini kami telah melakukannya."





Verstappen menambah: "Ketika kecil, matlamat saya adalah untuk menjadi pemandu F1. Saya berharap untuk menang, berharap untuk berada di podium untuk lagu kebangsaan dimainkan. Saya memang berharap suatu hari nanti ia dimainkan atas kejayaan yang saya lakar.

"Sekarang, saya berdiri di sini dan apabila mereka memberitahu bahawa saya adalah juara dunia, ia sesuatu yang luar biasa."

Verstappen juga memberi penghormatan kepada seteru terdekatnya, Hamilton, yang mengintai gelaran dunia kelapan.

Pemandu Great Britain itu turut dikecewakan apabila bantahan apabila mendakwa dipintas pencabar dari Belanda tersebut ketika kenderaan keselamatan keluar, namun ia ditolak.

"Lewis adalah pemandu yang menakjubkan, pesaing yang hebat," kata Verstappen.

"Mereka menjadikannya sangat sukar buat kami. Kedua-dua pasukan saling bersaing sengit dan kami melalui tempoh yang sukar tetapi ia sebahagian daripada sukan dan emosi, semua orang mahu menang.

"Ia boleh berlaku sama ada hari ini dan tahun depan, kami akan kembali dan mencubanya lagi."