Sebastian Vettel yakin Aston Martin mampu mengubah senario permulaan yang mengecewakan pada 2022 di tengah-tengah keraguan mengenai masa depannya dalam Formula Satu (F1).

Juara dunia empat kali itu hampir tamat kontraknya bersama Aston Martin dan masih kabur adakah dia akan meneruskan karier dalam sukan itu melangkaui musim ini.

Tambahan pula, prestasi Aston Martin tidak banyak membantu untuk meredakan mengenai topik persaraannya apabila berada di tempat ke-12 dalam kejuaraan pemandu dengan 43 mata pada 2021.

Selepas terlepas dua perlumbaan pertama musim ini kerana COVID-19, dia hanya mampu mengutip lima mata daripada lima perlumbaan.

Bagaimanapun, Vettel menaruh harapan dengan perubahan terbaru jenteranya bagi mengulangi kejayaan meraih tempat kedua di Baku tahun lalu -- hingga mencetuskan kontroversi dan persoalan daripada Red Bull atas persamaan kedua-dua kereta -- sekali gus mampu mengubah nasibnya.

Dia memberitahu Stats Perform: "Jelas sekali kami tidak menyasarkan untuk berada di kedudukan ketika ini. Tetapi mari kita lihat, adakah kami masih mampu bersaing dan pasukan sedang berusaha keras untuk memperbaiki kereta ini.




"Dengan set peraturan baharu, sentiasa ada risiko bahawa anda mungkin tersilap langkah dan saya fikir kami telah menukar haluan kami dengan menggunakan kereta berbeza.

"Kami percaya ia adalah pilihan yang lebih baik untuk perlumbaan akan datang.

"Buat masa ini, kami belum berpuas hati dengan kedudukan kami, kami ingin pergi lebih jauh lagi tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam projek ini.

"Kami harap dapat lihat beberapa keputusan yang lebih baik tidak lama lagi."