"Hari ini bagaikan semua serba tidak menjadi", itu yang mampu diungkap juara Jelajah Toyota dua kali, Galven Green.

Green meluahkan kekecewaan berikutan sekadar melakar 74 pukulan menerusi tiga birdie dan lima bogey untuk dua pukulan di atas par pada hari pertama pusingan keempat Jelajah Toyota: Piala Vios di Templer Park Country Club, Selangor.

Keputusan tersebut menyaksikan Green berkongsi kedudukan ke-27 bersama empat peserta yang lain.

Justeru, banyak yang perlu diperbaikinya demi misi melengkapkan kemenangan hatrik dalam Jelajah Toyota.

"Ia merupakan hari yang teruk buat saya tetapi saya tidak boleh jadikan itu sebagai alasan kerana saya sudah terbiasa dengannya.

"Saya mahu memenangi perlawanan ini tetapi perancangan saya tidak berlaku seperti yang diharapkan.

"Jadi saya perlu kekal fokus dan pamerkan aksi yang lebih baik selepas ini," katanya.

Pendahulu pusingan pertama, Ervin Chang, pula tidak meletakkan kedudukannya di posisi yang selesa.

Malah, Ervin menjadikannya sebagai suntikan semangat untuk beraksi lebih baik dalam saingan dua hari seterusnya.

Ervin mencatat 68 pukulan, empat di bawah par menerusi lima birdie dan satu bogey untuk berkongsi kedudukan dengan Kemarol Baharin.