Pemain golf kebangsaan, Galven Green, muncul juara pusingan kedua Kejohanan Golf Jelajah Toyota dengan menewaskan rakan senegara, Nicholas Fung, dalam penentuan playoff di Glenmarie Golf and Country Club hari ini.

Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Galven dalam Jelajah Toyota selepas memenangi Trofi Tun Ahmad Sarji dalam pusingan pertama pada Februari lalu.

Ada situasi dramatik berlaku menuju ke penghujung saingan hari ketiga pusingan ini, di mana Galven, yang mendahului saingan selepas hari kedua, dipintas Nicholas, yang melakukan lima birdie, dengan dua pukulan.

Galven kemudian merapatkan jurang itu kepada satu pukulan dengan birdie di lubang ke-16.

Ia memberikan tekanan buat Nicholas sehingga melakukan bogey di lubang ke-17 untuk tercicir satu pukulan di belakang.

Keadaan itu menyaksikan Galven dan Nicholas terikat di tangga teratas dengan 203 pukulan, 13 di bawah par pada penghujung saingan.

Saingan dua penjuru itu kemudian terpaksa diheret ke playoff dan Galven melakukan birdie berbanding par yang dilakukan Nicholas untuk bergelar juara.

"Bagi saya, ia amat sukar untuk dimenangi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Dalam setiap kejohanan, saya hanya mahu turun dan memberikan yang terbaik.

"Harap-harap saya boleh kekalkan rentak ini."