Kecederaan pergelangan tangan tidak mematahkan semangat pemain golf negara, Nicholas Fung, dalam saingan hari pertama pusingan kedua Kejohanan Golf Jelajah Toyota di Glenmarie Golf and Country Club hari ini.

Biarpun dia sepatutnya perlu berehat selama enam bulan, Nicholas menamatkan saingan hari ini dengan catatan empat di bawah par biarpun tersentak dengan dua bogey di lubang ke-16 dan 17.

"Sebenarnya ia (kecederaan) bermula pada Julai tahun lalu ketika saya bermain dalam Jelajah Asia tetapi saya perlu memaksa diri untuk terus bermain bagi mengejar ranking dalam Jelajah Asia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

"Jadi, ia semakin teruk dan saya memilih untuk berehat dan selepas mendapat nasihat doktor, saya perlu berehat enam bulan.

"Tetapi saya memaksa diri saya untuk bermain minggu ini bagi menyokong jelajah ini kerana ia berdekatan dengan rumah saya.

"Saya masih bergelut tetapi saya agak gembira dapat menghabiskan 18 lubang," katanya.

Sementara itu, juara Trofi Ahmad Sarji 2024 -- yang merupakan pusingan pertama Jelajah Toyota -- iaitu Galven Green, berhasil mengelakkan tekanan untuk kekal menerajui saingan berkenaan.

Galven menduduki tangga kedua dengan lima birdie untuk mencatatkan lima di bawah par di belakang pencabarnya, Malcolm Ting, yang memintasnya di lubang terakhir.

"Green di sini sememangnya amat sukar dan mujurlah saya dapat melakukan beberapa pukulan yang baik dan memiliki garisan yang baik.

"Saya fikir saya hanya perlu turun dan melakukan yang terbaik kerana tidak banyak yang boleh saya perkatakan," katanya.