Charles Leclerc tidak mahu pergelutan yang dialaminya dengan rakan sepasukan, Carlos Sainz, berulang dalam perlumbaan pecut tatkala dia menyasarkan kemenangan Grand Prix (GP) Austria, awal pagi esok.

Pemandu Ferrari itu menyaksikan pendahulu kejuaraan, Max Verstappen, menjarakkan kedudukan dalam perlumbaan pecut ketika memanfaatkan persaingan sengit di antara Leclerc dan Sainz, secara tidak langsung meraih lapan mata maksimum.

Verstappen meraih kemenangan dengan 1.6 saat di depan Leclerc, lantas pemandu itu yang menegaskan Scuderia tidak perlu lagi mengambil risiko membazirkan masa dan tayar mereka demi bersaing sesama sendiri di Red Bull Ring.

Dia berkata: "Saya fikir esok adalah perlumbaan yang panjang dan pengurusan tayar akan menjadi lebih penting berbanding hari ini, jadi esok kami mungkin tidak mampu melakukan apa yang dapat dilakukan hari ini.


"Kami membazir sedikit masa tetapi sekali lagi apabila Max mempunyai jurang, dia dapat mengawal rentaknya jadi kami tidak pasti. Tetapi saya rasa kami makin mantap menjelang akhir perlumbaan -– mungkin lebih bagus daripada peringkat permulaan. Sama ada ia sudah cukup atau tidak, saya benar-benar tidak tahu."

Verstappen kini mendahului kejuaraan pemandu dengan 38 mata sementara rakan sepasukannya di kem Red Bull, Sergio Perez, melonjak dari tempat ke-13 ke tangga kelima perlumbaan pecut.

Kedudukan perlumbaan pecut:

1. Max Verstappen (Red Bull)
2. Charles Leclerc (Ferrari) +1.675
3. Carlos Sainz (Ferrari) +5.644s
4. George Russell (Mercedes) +13.429s
5. Sergio Perez (Red Bull) +18.302s
6. Alexander Ocon (Alpine) +31.032s
7. Kevin Magnussen (Haas) +34.539s
8. Lewis Hamilton (Mercedes) +35.447s
9. Mick Schumacher (Haas) +37.163s
10. Valtteri Bottas (Alfa Romeo) +37.557s