Johor menamatkan kempen Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong sebagai naib juara saingan wanita apabila menutup saingan liga sepusingan dengan mencipta kemenangan ke atas Penang 89-26.

Johor jelas mendominasi perlawanan apabila mendahului selesa 14 mata sebelum membenarkan penang mengutip dua mata pertama.

Johor bagaimanapun belum mahu melonggarkan permainan mereka dengan terus melancarkan asakan untuk melebarkan jurang kepada 23 mata pada separuh masa pertama.

Ia dibuktikan lagi dengan mengehadkan pihak lawan untuk menambah dua mata sahaja dalam suku ketiga perlawanan.

Kejayaan mereka dibantu sentuhan Tan Pei Jie yang mengesahkan reputasinya sebagai tunjang utama Johor edisi ini apabila memeperagakan rekod jaringan terbaiknya menerusi sumbangan 33 mata.

Sementara itu, pertembungan antara Selangor dan Negeri Sembilan, tamat dengan keputusan 49-81.

Negeri Sembilan yang juga ditunjangi majoriti pemain kebangsaan kekal dengan aksi terbaik mempertahankan rekod tanpa kalah dalam kejohanan edisi kali ini.

Walaupun Selangor cuba memberikan saingan sengit namun Negeri Sembilan berjaya mengekang sebarang usaha kemaraan mereka sepanjang separuh masa pertama sehingga meninggalkan jurang 22 mata di hadapan.

Pemain Negeri Sembilan, Fook Yee Yap antara pemaini tumpuan yang membantu menyumbang kemenangan pasukan dengan 13 mata disumbangkannya.