Presiden Persatuan Bolakeranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, mengesahkan tiada penyertaan pemain bola keranjang naturalisasi seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini bagi menghadapi Sukan SEA 2027.

Jelasnya, usaha pencarian bakat gagal berikutan ketiadaan pemain yang benar-benar difikirkan mampu memperagakan kualiti terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Tahun lalu kami mencuba tapi kali ini kami sudah berputus asa.




"Tiada perancangan untuk menggunakan khidmat pemain naturalisasi.

"Kami akan pakai tempatan, kami akan gilap pemain tinggi lampai.

"Ketika ini pemain paling tinggi dalam pasukan adalah 210 sentimeter dan saya rancang ia terus ditingkatkan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Sementara itu, Tian Hock juga berjanji ganjaran setimpal bakal disajikan kepada skuad kebangsaan andai berjaya meraih sebarang bentuk pingat.

Dia ditemui dalam majlis menandatangani kolaborasi hartanah MABA dan Eksim di Bangunan MABA, Kuala Lumpur hari ini.