Beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik, sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tapak kaki dan mula menjalani rutin latihan seperti biasa.

Perkara itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, yang mengalu-alukan kepulangan Wooi Yik ke gelanggang latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut Rexy, anak buahnya berusia 26 tahun itu juga akan memulakan pertarungan di jelajah Eropah, dengan Terbuka Arctic menjadi medan pertamanya diikuti Terbuka Denmark dan Terbuka Hylo.

"Saya perlu kembalikan motivasinya kerana pasti (rentaknya) akan lari. Selepas Sukan Olimpik, rata-rata semangat pemain dilihat agak merudum.

"Saya perlu kembalikan hatinya untuk terus beraksi selepas berehat lama.

"Dia juga sudah kembali berlatih seperti biasa," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.