Bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpandangan kemenangan pasangan beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, memberi dimensi berbeza dalam perkembangan badminton beregu negara.

Malah, tidak mustahil pasangan ini mampu menjadi pesaing terdekat Soh Wooi Yik-Aaron Chia dalam masa terdekat andai kekal konsisten di pentas antarabangsa.

Ia satu persembahan luar biasa apabila beregu ini cemerlang memecah dominasi China di Tanah Besar semalam.

Wakil negara itu muncul satu-satunya juara selepas empat acara berbeza Terbuka China ditawan wakil tuan rumah berkenaan.

Andai pencapaian sebegini tekal, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak memerlukan tempoh masa lama untuk bergelar beregu nombor satu negara, sekali gus muncul sebagai pesaing Wooi Yik-Aaron dalam masa terdekat.

Wakil negara mengambil masa 35 tahun untuk kembali bergelar juara dalam acara beregu lelaki selepas kali terakhir dilakar Jailani dan Razif Sidek pada 1989.

"Bukan mudah nak runtuhkan Tembok Besar, mereka cukup kuat apabila bermain di lapangan sendiri.

"Ini sudah semestinya satu saingan yang sihat.

"Selepas menang dalam Terbuka Jepun tapi prestasi agak merudum dalam beberapa kejohanan lepas itu tetapi bangkit dalam Terbuka China.

"Mereka pernah melalui pengalaman macam ini cuma saya harapkan mereka mampu tekal dengan pencapaian sebegini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.


Hampir mencipta sejarah, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, terpaksa mengakui kelebihan milik wakil tuan rumah menerusi kekalahan 16-21, 21-14, 21-17.

Namun, cabaran yang ditampilkan wakil negara itu pada satu ketika wajar diberikan pujian mampu meletakkan Feng Yan Zhe-Huang Dong Pin di kedudukan sukar.

"Mereka beri saingan kepada pencabar yang berada di ranking lebih baik.

"Sejak bergelar suami isteri, keserasian mereka akan menjadi semakin kuat," katanya.