Tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka China memberi kesan kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, apabila tergelincir dua anak tangga dunia.

Zii Jia kini menghuni tempat kelima dunia selepas dipintas pemain Denmark, Anders Antonsen, dan pemain Jepun, Kodai Naraoka.

Viktor Axelsen pula kekal sebagai pendahulu ranking yang baru diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu diikuti Shi Yuqi.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula kini bergelar beregu lelaki kelapan dunia selepas melonjak empat anak tangga atas kejayaan merangkul gelaran Terbuka Jepun dan Terbuka China sementara beregu utama kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal sebagai gandingan kelima terbaik dunia.

Finalis Terbuka China, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula memanjat dua anak tangga daripada kedudukan ke-12 dan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, tidak berganjak di kedudukan kelapan dunia.