Andy Murray berkata dia pada satu ketika tidak tahu sama ada Kejohanan Tenus Terbuka Nottingham akan diteruskan atau tidak selepas insiden memilukan berlaku di pusat bandar itu pada malam sebelum hari perlawanan.

Tiga mangsa terkorban dan tiga lagi dikejarkan ke hospital berikutan satu insiden serangan yang berlaku pada awal pagi dengan kebanyakan tempat di kawasan itu turut disita.

Kejohanan itu tetap dijalankan seperti yang dirancangkan dan Murray, yang masih segar dengan gelaran dimenanginya di Surbiton minggu lalu, memulakan kempennya dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain Belgium, Joris De Loore.

Bagaimanapun, Murray, yang keluar makan malam di Bandar Nottingham dan berada tidak jauh daripada tempat kejadian insiden itu, berkata bahawa insiden berkenaan "jauh lebih penting daripada tenis".

Dia berkata: "Ia jelas sesuatu yang amat mengejutkan apabila saya bangun pagi dan kemudian mahu turun bersarapan, terdapat beberapa mesej masuk daripada pasukan kami.

"Kami tinggal di pusat bandar dan keluar makan malam dan berjalan di sekitar kawasan itu malam tadi. Anda tidak menjangkakan sesuatu seperti itu berlaku, ia benar-benar mengejutkan.

"Saya tidak tahu sama ada ia akan menjejaskan apa-apa di sini atau tidak kerana jalan-jalan di sini ditutup pagi ini.

"Ia amat mengejutkan dan amat memilukan buat mangsa dan mereka yang terlibat, jadi harap-harap semuanya selamat ketika ini.

"Kami bercakap mengenainya pagi ini dan kami tidak tahu sama ada kejohanan ini akan ditunda atau tidak kerana terdapat perkara yang jauh lebih penting daripada tenis dan kami pada awalnya tidak tahu apa yang berlaku kerana ia berlaku pada tengah malam.

"Ia agak tidak menyenangkan, semua kelihatan berada dalam keadaan baik ketika ini tetapi ia merupakan satu berita yang mengejutkan selepas anda bangun pagi," katanya.