John Beasley terpesona dengan semangat yang ditonjolkan anak buahnya, Datuk Azizulhasni Awang, yang mencipta sensasi menggondol pingat emas keirin di Adelaide, hari ini.

Pelumba berbasikal trek itu menggegar Piala Negara-Negara UCI dengan catatan 9.910 saat selepas diberi saingan sengit oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano.

Justeru, ketua jurulatih berbasikal kebangsaan itu melahirkan kekaguman terhadap pelumba berusia 36 tahun itu biarpun sebelum ini dihimpit masalah kesihatan.

"Saya mahu dia mengatasi pencabarnya menerusi catatan masa tapi dia dalam keadaan yang tidak bagus.

"Oleh itu saya mengarahkannya untuk mengekori motosikal terlebih dahulu kerana saya meramalkan akan ada pelumba yang memecut awal.

"Dan apabila dia berasa masa yang sudah tiba, dia harus membuat henjutan memandangkan dia memakai gear rendah jadi dia perlu menjarakkan diri.




"Dia melakar keputusan di luar jangkaan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Dalam masa sama, Beasley tiada masalah dengan program yang dijalani Azizulhasni sejak kembali berlatih di Melbourne termasuk menguruskan keluarganya apabila baru menerima cahaya mata keempat.

"Dia sukar dipercayai dan dia berada di tahap yang jauh lebih baik berbanding minggu lalu.

"Kami cukup khuatir dengan keadaan kesihatannya.

"Dia baru memulakan kayuhan sejak beberapa minggu lalu dan fizikalnya kian pulih.

"Perlumbaan hari ini membuktikan dia semakin bagus, esok merupakan perlumbaan berbeza dan ayuh lihat keadaannya selepas ini.

"Kalau dia tidak bersedia, kami akan merehatkannya dan akan mempersiapkannya mencapai kesihatan di tahap 100 peratus," kata Beasley lagi.