Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, atlet mampu mengetepikan segala rintangan dan tidak mustahil mereka mampu melakar kejutan dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik 2020, bermula hujung bulan ini hingga awal September depan.

Dia melahirkan kekagumannya terhadap kesungguhan barisan wakil olahraga negara yang akan berlepas ke Jepun pada 25 Julai ini selepas diselubungi situasi COVID-19 ketika ini.

"Penyertaan yang dapat disertai mereka (atlet olahraga ini) bagi mendapatkan pendedahan dan keupayaan secara kompetitif adalah amat sedikit.

"(Lee) Hup Wei tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan melainkan Terbuka Kazakhstan baru-baru ini, selain itu hanyalah latihan di kem latihan dan Bukit Jalil.

"Saya masih anggap ia bukan satu benda yang mudah buat atlet tapi mereka tunjukkan kesungguhan.

"Dengan kesungguhan dan keyakinan, apa sahaja boleh berlaku," katanya dalam lawatan ke Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.




Dalam masa sama, MSN berpuas hati dengan kerjasama semua atlet Program Road to Tokyo (RTT) sungguhpun diasingkan daripada rakan-rakan atlet yang lain bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Kem gelembung sukan di Bukit Jalil seumpamanya telah diketengahkan sebelum pengkhususan pelaksanaannya diperincikan ke atas peserta RTT.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jeffry Ngadirin, menjelaskan semua aspek terpaksa diasingkan bagi memastikan atlet program itu benar-benar selamat sebelum berlepas ke Jepun.

"Ini satu langkah yang tepat dalam fasa terakhir -- lagi seminggu lebih sedikit -- sebelum mereka berlepas ke Tokyo, untuk bebas daripada ancaman.

"Kami sedaya upaya cuba untuk pastikan mereka kekal selamat dan tercemar daripada COVID-19.

"Walaupun mereka duduk dalam gelembung sukan keseluruhan, tetapi kita kena paham bahawa banyak perkara yang tidak dapat kami patuhi (dielakkan).

"Jadi dengan langkah ini kami dapat pastikan atlet terlindung sepenuhnya," katanya dalam perkongsiannya kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Beberapa jenis sukan mendapat kebenaran untuk menyenaraikan rakan sepelatih dalam memantapkan lagi persediaan masing-masing.

"Untuk berbasikal lapan orang, begitu juga badminton."