Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA), mengesahkan dua atlet negara bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia Mendayung Asia dan Reggata Oceania 2024, yang juga merupakan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dua atlet yang bakal galas cabaran Malaysia di Chungju, Korea Selatan, bermula 19 April depan ialah Mohd Arif Ashraf Mohd Rusok, yang beraksi dalam acara 'men single scull' manakala Nurzarinah Zakaria pula, bagi acara 'women single scull'.

Kedua-dua atlet berkenaan merupakan mahasiswa yang masih menuntut di universiti tempatan .

Untuk rekod, sukan mendayung Malaysia belum pernah layak untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik sebelum ini.

"Kami menyasarkan untuk ke final B seperti 2016 dan peluang agak terbuka untuk ke Olimpik.

"Kami juga menyasarkan beberapa pingat di Sukan Sea 2025 kelak. Kami dah merangka perancangan dari tahun lepas untuk persiapan menjelang tahun 2025. Kita akan memilih dari kalangan atlet yang terbaik," kata Presiden Persatuan Mendayung Malaysia, Norhadi Ishari.

"Saya telah melakukan persediaan dari bulan Januari mengikut pelan dan perancangan jurulatih untuk ke kelayakan Olimpik. Saya terpaksa mengorbankan masa cuti raya demi negara," tambah Mohd Arif Ashraf pula

"Ini adalah satu cabaran untuk saya kerana ini merupakan peluang untuk kembali dari kecederaan. Saya akan lakukan yang terbaik dan ingin memecahkan rekod dan sasaran peribadi saya sendiri," Kata Nurzarinah Zakaria.