Harapan Lee Zii Jia untuk melangkah jauh dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini berakhir di tangan juara bertahan, Chen Long, dari China selepas tunduk 1-2 sebentar tadi.

Walaupun bayangan laluan seakan mudah buat perseorangan negara itu dalam set pertama pusingan 16 berkenaan di Plaza Sukan Musashini Forest, Jepun, dengan kemenangan 21-8 -- yang menyaksikannya mengutip 10 mata berturut-turut selepas rehat mata ke-11 -- Chen Long bagaikan mendapat nafas baru dalam set kedua.

Dalam masa sama, Zii Jia dua kali terpaksa mendapatkan rawatan di tangan kanannya.

Seteru dari China berusia 32 dunia itu kemudian mengorak langkah yang menyaksikan acap memimpin pertarungan dengan kelebihan lima mata sebelum saingan kembali sengit di pertengahan set kedua.

Zii Jia berusaha meruntuhkan halangan Tembok China itu tetapi kelebihan kekal milik Chen Long meskipun lawannya sempat menyamakan kedudukan 19-19.

Namun, pilihan keenam temasya itu memuktamadkan pencarian dua mata terakhir dengan kemenangan 21-19 untuk mengheret permainan ke set penentuan.




Chen Long tidak menoleh ke belakang lagi untuk meneruskan rentaknya dengan menerajui set ketiga dengan memungut lima mata pertama berturut-turut sebelum membenarkan atlet kelahiran Kedah itu mendapatkan mata.

Namun, ia hanya bersifat sementara apabila Chen Long -- yang sekian lama tidak menyertai kejohanan -- beroleh tujuh mata berturut-turut untuk di depan 12-3.

Zii Jia terus buntu untuk mematahkan serangan lawannya, sebelum tunduk 5-21 kepada lawannya itu dalam pertemuan kelima mereka sepanjang karier untuk China menghidupkan peluang kekal mengekalkan penguasan dalam empat daripada lima temasya terakhir.