Jaguh bina badan negara, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah, tidak menjangka akan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terbaik dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2022 di ibu negara semalam.

Bagaimanapun, atlet yang lebih dikenali sebagai Mike Mahen itu berkata kejayaan berkenaan akan dijadikan sebagai tonik terbaik untuk beraksi cemerlang dalam Sukan Asia di Hangzhou, China bulan depan.

"Saya harap semua sukan akan dipandang penting, tidak kira sukan dalam (Program) Podium atau apa sahaja, selagi mereka rakyat Malaysia dan mewakili Malaysia," kata Mike kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

Sementara itu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Para Terbaik bagi tahun 2022.

Liek Hou berasakan tahun 2022 merupakan tahun terbaiknya, di mana dia menenangi kesemua kejohanan yang disertainya selain turut diiktiraf dengan anugerah berkenaan.

"Sepanjang tahun lalu, prestasi saya memang amat cemerlang dan luar biasa kerana sepanjang tahun lalu, saya memenangi semua kejohanan yang saya sertai," katanya.

Dalam pada itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, memenangi anugerah utama kategori kewartawanan, Anugerah Siebel, menerusi laporan khas AAORCA, yang menceritakan mengenai masalah jantung yang dialami jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.