Jaguh badminton para dunia, Cheah Liek Hou, terpaksa berpuas hati dengan meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Para Asia 2022 sebentar tadi.

Ia susulan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diatasi lawan dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-18, 19-21, 17-21 dalam aksi final berlangsung di Gimnasium Binjiang.

Kekalahan itu bagaimanapun berjaya memperbaiki pencapaiannya selepas meraih pingat gangsa pada Sukan Para Asia Jakarta-Palembang pada 2018.

Pingat perak yang dirangkulnya menjadi pingat ke-33 Malaysia di temasya empat tahun sekali itu.

Untuk rekod, Liek Hou memenangi pingat emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.