Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, yakin aspek psikologi akan memainkan peranan penting untuk menguasai lawannya sebelum memulakan saingan dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Selaku pemain yang menjadi sandaran pingat emas dalam penampilan sulungnya dalam temasya itu -- badminton julung-julung kalinya tersenarai di peringkat Sukan Paralimpik -- dia akan memulakan saingan peringkat kumpulan pada Rabu depan.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, juara dunia enam kali berturut-turut itu berkata: "Saya rasa apabila mula-mula berjumpa mereka, kita perlu bermain psikologi sedikit agar mereka dapat lihat betapa kita sudah bersedia untuk bersaing.

"Kita perlu menunjukkan kekuatan tubuh kita dan apabila ada yang bertanyakan sesuatu, kita perlu menjawabnya dengan penuh keyakinan.

"Ia menunjukkan bahawa kita benar-benar bersedia dan akan mencuba sedaya-upaya untuk membuktikan kekuatan kita," katanya.