Juara dunia perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou, menceriakan arena badminton negara apabila muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 1 di Toledo semalam

Kejayaan pemain berusia 35 tahun itu diraih selepas menewaskan Fang Jeng Yu dari Taiwan 21-7, 21-13 dalam perlawanan final selama 27 minit.

Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga berdepan cabaran kesihatan apabila terpaksa bertarung dengan cuaca sejuk yang mengakibatkannya mengalami selesema, batuk teruk dan kahak berdarah.

“Awal pagi cuaca mencecah -4 darjah celcius. Memang saya tak biasa di negara yang sejuk sampai kondisi saya menurun.

“Saya bertahan dan makan ubat sampai ke final dan akhirnya menang kejohanan ini untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Saya akan menjadikan ini sebagai satu pengajaran apabila menyertai kejohanan yang berada dalam cuaca yang sejuk,” catat Liek Hou di Facebooknya.

Kejayaan merangkul gelaran itu juga dilihat mengubat kekecewaan Liek Hou selepas hanya bergelar naib juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 2 bulan lalu.

Kemenangan itu juga menjadi pencetus semangat buat Liek Hou untuk bekerja lebih keras dalam mendapatkan prestasi luar biasa buat Malaysia.

Dia turut berterima kasih kepada pelbagai pihak yang menyokongnya, termasuk jurulatih, Nova Armada.

“Pingat emas ini juga adalah hadiah yang datang awal sebab hari jadi saya dalam 3 hari lagi (8 Mac),” katanya.

Liek Hou juga mencipta sensasi pada November 2022 apabila merampas semula gelaran juara dunia acara Berkenaan dalam Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, Jepun.

Ia merupakan gelaran juara dunia ke-12 pemain itu menerusi kategori perseorangan lelaki SU5 (tujuh kali) dan beregu lelaki SU5 (lima kali).

Kredit: Sinar Harian