Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) 2024 mencuri tumpuan sebagai platform baru mencungkil bakat muda sukan badminton negara untuk muncul juara dunia kelak.

AJBC 2024 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang. Edisi ketiga mencatatkan rekod baru dengan penyertaan luar biasa 3,113 pemain dalam 10 pusingan kelayakan, termasuk Sabah dan Sarawak, dari Mei hingga November lalu.

AJBC platform khas untuk pemain berumur 11, 13 dan 15 tahun ke bawah yang bercita-cita menjadi pemain profesional.

Tanpa yuran penyertaan, kejohanan itu bukan sahaja menggalakkan persaingan sihat, malah turut memupuk semangat juang tinggi.

Bagi edisi kali ini, AJBC memperkenalkan kategori bawah 11 tahun yang mendapat sambutan luar biasa.

Sebanyak 195 pemain terbaik berjaya melayakkan diri ke grand final, yang menjadi medan persaingan terunggul untuk menentukan juara sebenar.

Sebagai penghargaan, setiap pemenang bukan sahaja menerima hadiah wang tunai, tetapi juga geran khas bernilai RM2,000 untuk menampung kos pertandingan masa depan, pembelian peralatan, dan latihan.

AJBC pada awalnya bermula dengan hanya tujuh pusingan kelayakan dan grand final pada edisi pertama 2022.

Tetapi sambutan luar biasa menjadikan tahun ini lebih besar dan kompetitif.

AJBC akan terus menganjurkan kejohanan itu pada 2025 susulan penganjuran cemerlang 2024.

Ia petanda positif dalam mencari pengganti Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mahupun Pearly Tan-M. Thinaah.