Tan Bin Shen yang sah akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 13 Januari depan merumuskan bahawa dia berjaya mencapai 60 peratus daripada sasaran peribadi yang diamanahkan ke atasnya sejak mengambil-alih tugas sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara pada 2020.

Namun, dia mengakui sedikit kecewa apabila terlepas peluang meraih pingat emas Sukan Olimpik di Paris menerusi beregu lelaki nombor enam dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Terbuka Malaysia yang bermula dua minggu lagi pastinya bakal menjadi tugasan terakhirnya sebelum berkelana ke Hong Kong pada Februari depan.

Lantas, dia berharap mampu menutup kisah di BAM dengan mencipta kenangan menerusi kejohanan pembukaan Jelajah Dunia BWF, Terbuka Malaysia.

"Sekurang-kurangnya pemain (di bawah asuhan) saya pernah naik podium.




"Saya mempunyai sasaran tersendiri dalam setiap kejohanan seperti Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia termasuk Sukan Asia tapi sasaran utamanya adalah emas," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Mengenai peranan barunya di Hong Kong, Bin Shen menjelaskan ditawarkan kontrak dua tahun untuk melatih skuad beregu lelaki termasuk beregu wanita dan beregu campuran.

"Beberapa bulan lalu, saya ditawarkan oleh Wong Choong Hann (bekas pengarah kejurulatihan BAM) tetapi pada masa itu tiada kepastian lagi kerana isu keluarga, anak saya masih kecil.

"Selepas berbincang dan mendapatkan pandangan keluarga, akhirnya saya buat keputusan ini," katanya.