Atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat dan penerjun Nur Dhabitah Sabri masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 dalam majlis di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kedua-dua olahragawan dan olahragawati tersebut membawa pulang sijil, trofi, piala pusingan serta wang tunai RM3,000 yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhammad Erry dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham menerusi acara 73 kilogram (kg) mengetepikan atlet karate, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sementara Nur Dhabitah pula merupakan pemenang pingat perak acara 3 meter papan anjal individu pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menewaskan atlet menembak, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

"Anugerah ini penting sebagai suntikan semangat untuk saya meletak sasaran melakukan yang lebih baik terutamanya di kejohanan kelayakan Sukan Komanwel 2026.

"Proses kelayakan dijangka bermula tahun depan. Saya tidak menyertai Sukan Olimpik kerana berada di tangga ke-16 dunia. Bagi layak (Olimpik) perlu berada dalam kedudukan 10 teratas," kata Muhammad Erry kepada pemberita selepas majlis di Dewan Za'Ba KPT.

Sebagai rekod, majlis diadakan bagi memberikan penghargaan kepada atlet-atlet Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan pegawai-pegawai yang mengharumkan nama MASUM sepanjang 2022.

Pada majlis sama, Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) Chengdu, China turut diadakan.