Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, memberikan bayangan bakal mengikut jejak langkah Datuk Leong Mun Yee selepas berpuas hati dengan pencapaian di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Bagaimanapun, penerjun berusia 29 tahun itu menjelaskan keputusan tersebut masih dalam pertimbangan sementara dia memiliki perancangan untuk berehat panjang.

Selepas mengharungi rentetan kejohanan, Yan Yee mengakhiri kejohanan terakhir pada musim ini di Sukan Komanwel dengan kejayaan satu pingat perak bagi acara tiga meter papan anjal seirama bersama Dhabitah Sabri.

Pingat perak itu merupakan kejayaan terbesar Yan Yee di pentas Sukan Komanwel sepanjang kariernya sebagai penerjun selain dia berkongsi mahu kembali meneruskan pengajiannya di peringkat master antara faktor perlu berehat panjang.

"Buat masa ini, saya mahu berehat panjang dan membuat perancangan bagi masa depan saya," kata Yan Yee menerusi Nadi Arena.

"Saya sangat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh di Sukan Komanwel ini. Buat masa ini, saya tidak memikirkan tentang Sukan Asia dan Sukan SEA sementara mula menceburi bidang lain selepas ini."