Tiga penerjun senior negara, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Syafiq Puteh tidak beraksi di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia bermula esok.

Ia merujuk kepada beberapa isu melibatkan kecederaan, jadual Road to Gold dan isu keluarga yang dihadapi tiga atlet kebangsaan tersebut menafikan kelibat mereka untuk saingan kali ini.

Tegas pengarah berprestasi tinggi terjun baru, Bryan Nickson Lomas, saingan kali ini masih dianggap meriah dengan kehadiran penerjun lain yang dalam persediaan terbaik mereka ke Kejohanan Dunia Doha Februari tahun depan.

"Selepas tamat Sukan Asia, penerjun negara berada dalam fasa pemulihan dan tidak memilih untuk beraksi dalam kejohanan kali ini," kata Bryan.

"Tumpuan mereka buat masa ini adalah proses pemulihan sebelum kembali membuat persiapan bermula Disember sebelum menghadapi Kejohanan Dunia."

Masa semakin suntuk buat penerjun negara mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024.

Difahamkan, peluang hanya di Doha, sebelum segala-galanya tertutup buat penerjun negara.