Nur Dhabitah Sabri mempamerkan sisi terbaiknya dengan membuktikan dirinya penerjun serba boleh dengan mengesahkan penyertaan dalam empat acara dalam Sukan Asia Hangzhou.

Dia menamatkan kempennya di China hari ini dengan kejayaan pingat perak selepas mengumpul 270.27 mata bersama Wendy Ng dalam 3m papan anjal seirama.

"Sampai sini saya tiada masa untuk menguji membuat terjunan seirama dengan Wendy. Saya memang fokus kepada acara 10m platform.

"Saya sangat sibuk. Dalam tempoh tiga hari, saya perlu menguji terjunan platform dan papan sambil acara pula diadakan berturut-turut.





"Keadaan menjadi agak kalut dan tertekan buat saya," kata Dhabitah di Pusat Akuatik Olimpik Hangzhou.

Dalam masa sama, Wendy yang sudah mencecah 30 tahun menyedari ini mungkin peluang terakhir buatnya menyerlah di pentas ini sejak membuat penampilan sulung dalam edisi di Guangzhou, 13 tahun lalu.

"Saya sangat gembira kami berjaya kekalkan pingat perak.

"Tapi ini adalah penampilan terakhir saya dalam temasya ini.

"Kalau empat tahun lalu, saya mungkin masih boleh mengatakan akan terus bekerja keras untuk edisi seterusnya," katanya.