Ketua pasukan Wolves, Ruben Neves, hampir dengan perpindahan £47 juta (RM278.4j) ke kelab Arab Saudi, Al Hilal.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu dijangka meninggalkan Molineux pada musim panas ini dan bersedia untuk menjadi pemain berprofil tinggi terbaru yang berpindah ke Timur Tengah, menurut agensi berita PA.

Barcelona pernah menaruh minat jangka panjang terhadap pemain antarabangsa Portugal itu tetapi rundingannya gagal mencapai persetujuan.

Wolves sedang berbincang dengan Al Hilal untuk khidmat Neves yang hanya berbaki setahun dalam kontraknya menerusi perpindahan yang bakal mengatasi rekod penjualan kelab itu yang mungkin dimuktamadkan minggu ini.

Karim Benzema melengkapkan perpindahan percuma ke Al Ittihad bulan ini dan pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante, dikatakan akan menyusulinya bagi mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo yang terlebih dahulu ke Al Nassr pada Disember lalu.

Tawaran bernilai tinggi itu secara tidak langsung bakal mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung oleh Wolves dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Mereka perlu melepaskan beberapa pemain lagi bagi mengelak daripada melanggar peraturan perbelanjaan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepaas mengeluarkan dana £200j (RM1.1 bilion) musim lalu.

Ia membawa kepada keraguan mengenai masa depan Julen Lopetegui tetapi bekas pengurus Real Madrid itu dilaporkan sedia kekal di Molineux selepas mendapat jaminan.