Edin Terzic menyeru kebangkitan Jude Bellingham untuk mengetuai Borussia Dortmund dalam tugasan Liga Juara-Juara (UCL) di Chelsea, awal pagi esok.

Dortmund menuju ke Stamford Bridge untuk perlawanan timbal balik pusingan 16 UEFA dengan kelebihan 1-0 selepas jaringan Karim Adeyemi dalam separuh masa kedua memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan pertama.

Satu lagi pertembungan getir akan memberikan peluang buat Bellingham memperagakan keupayaannya di pentas terbesar setelah mempamerkan aksi mengagumkan bersama England dalam Piala Dunia di Qatar.

Pemain tengah remaja itu yang disebut-sebut menjadi buruan Liverpool dan Real Madrid serta beberapa kelab elit Eropah yang lain perlu menggalas tanggungjawab besar untuk membantu Dortmund mengatasi Chelsea terlebih dahulu.

Pengurus Dortmund itu berkata dalam sidang media pra-perlawanan awal pagi tadi: "Semua orang tahu potensinya.

"Dia juga berpeluang memilih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum memilih menyertai kami.




"Tetapi dia memilih Dortmund. Dia membantu kami dan kami membantunya.

"Kami gembira kerana dia bersama kami, dia adalah pemimpin kami.

"Kami memerlukan persembahan yang hebat daripadanya."