Chelsea melancarkan prosiding tatatertib dalaman berkenaan kiriman media sosial Enzo Fernandez, yang berupa video disifatkan Persatuan Bolasepak Perancis (FFF) sebagai ejekan perkauman terhadap pasukan itu.

Fernandez, yang mengirimkan video berkenaan dalam Instagram, dilihat menyanyikan lagu mengenai pemain berdarah warisan Afrika dalam skuad Perancis bersama rakan sepasukannya sebaik memenangi Copa America hujung minggu lalu.

FFF Berkata mereka akan memfailkan aduan undang-undang terhadap Argentina berikutan video berkenaan sambil rakan sepasukan Fernandez di Chelsea, Wesley Fofana, yang pernah melakukan satu penampilan bersama Perancis, turut mengirim ulang video berkenaan dengan kapsyen: "Bola sepak pada 2024: perkauman tanpa halangan".

Fernandez kemudian memohon maaf atas video itu dengan mengatakan dia "sangat menyesal".

"Saya ingin memohon maaf seikhlas hati atas video yang dimuat naik di saluran Instagram saya semasa sambutan bersama pasukan kebangsaan.

"Saya menentang diskriminasi dalam segala bentuk dan memohon maaf kerana terperangkap dalam euforia sambutan Copa America kami.

"Video itu, saat itu, kata-kata itu, tidak mencerminkan kepercayaan saya atau watak saya.

"Saya benar-benar menyesal," katanya.

Terbaru, Chelsea mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa satu siasatan dalaman akan dilakukan mereka.

"Kelab Bolasepak Chelsea berasakan segala bentuk tingkah laku diskriminasi sama sekali tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.

"Kami berbangga menjadi kelab yang pelbagai dan inklusif, di mana setiap orang datang dari pelbagai budaya, komuniti dan identiti.

"Kami mengiktiraf dan menghargai permohonan maaf secara terbuka pemain kami dan akan menggunakan peluang ini untuk mendidik.

"Kelab ini telah memulakan prosedur siasatan tatatertib dalaman."