Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, dilihat bersedia untuk melepaskan dua pemain, Fernando Torres dan Yannick Carrasco, sekiranya mereka mahu berpindah ke China.

Pasukan dari Liga Super China, Dalian Yifang, dilaporkan berminat untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu bagi menghadapi musim baru Liga Super China yang bakal bermula bulan depan.

Simeone baru-baru ini mengesahkan kontrak Torres yang akan tamat pada penghujung musim ini tidak akan diperbaharui sementara Carrasco tampak semakin hilang tempat dalam kesebelasan utama apabila hanya memulakan lapan aksi LaLiga pada musim ini.

"Jika perpindahan itu berlaku, ia penting kerana dia merupakan pemain yang memiliki masa depan yang cerah," kata Simeone mengulas tentang Carrasco selepas Atletico menyingkirkan FC Copenhagen untuk layak ke pusingan 16 Liga Europa.

"Ia adalah keputusan pemain. Kini, peluang buat Nicolas Gaitan telah terbuka. Dia adalah pemain yang kami yakin. Saya berharap Gaitan akan terus meningkat dan membantu kami.

"Mengenai Torres, kami hanya mahu memikirkan tentang kemenangan pasukan. Tiada perkara yang lebih utama berbanding kejayaan skuad," tambahnya.

Torres beraksi ketika bertemu Copenhagen selepas ketiadaan Antoine Griezmann dan Diego Costa tetapi Kevin Gameiro yang menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 di Wanda Metropolitano itu.

"Gameiro terlepas aksi pra-musim dan dia memerlukan masa untuk kembali ke prestasi asal.

"Kami sentiasa percayakannya dan kini dia membuktikan kualiti yang dimiliki buat pasukan. Walaupun kami berdepan kesukaran pada awal musim, segalanya tampak kompetitif buat kami sekarang," tambahnya.