'Saya mahukan pingat emas', itu pendirian tonggak tengah skuad E. Elavarasan, Mukhairi Ajmal yang enggan kecewa lagi di temasya dwitahunan itu.

Mukhairi turut mengakui dia dan rakan sepasukan sudah siap sedia sepenuhnya untuk turun beraksi dalam perlawanan pembukaan berdepan Laos, Rabu ini.

Untuk penampilan kedua di Sukan SEA, tonggak tengah Selangor itu percaya skuad kebangsaan mampu untuk mencapai sasaran mara ke pentas final sekaligus merealisasikan hasrat membawa pulang pingat emas.

Mukhairi berharap Malaysia langkah kanan dalam aksi berdepan Laos kerana penting untuk motivasi dan moral pasukan.

"Kami perlu mengumpul tiga mata pada perlawanan pertama untuk bakar semangat (walaupun) satu cabaran yang sukar melawan Laos... (jadi kami) tidak harus mengambil mudah cabaran lawan.

"Saya tengok semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih. Saya pernah bermain dalam pasukan senior dengan taktikal yang sama. Jadi saya harap pemain dapat fokus untuk Sukan SEA kali ini,” katanya.

"Saya nak (Malaysia jadi) juara sebab tahun lepas kami kalah semi final. Saya harap tahun ini peluang terbaik kerana ini Sukan SEA terakhir saya dan saya akan buat yang terbaik,".

Mukhairi yang tidak menyertai skuad juara Merlion Cup 2023 Mac lalu turut mengakui dia perlu cepat membina keserasian dengan rakan sepasukan sebelum bertolak ke Phnom Penh.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, meletakkan kepercayaan penuh kepada skuad kendalian Elavarasan untuk mencipta kejutan di Kemboja.

Meskipun berada dalam kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos, Hamidin tidak melihat ia sebagai halangan besar untuk mara jauh.

Untuk rekod di Vietnam tahun lalu, malaysia menamatkan saingan di pentas separuh akhir selepas tewas kepada Indonesia di penentuan pingat gangsa menerusi sepakan penalti.

"Kalau dilihat pada Sukan SEA tahun lepas di Hanoi, kami kalah pada perlawanan waktu kecederaan dengan pasukan tuan rumah (Vietnam), jadi seperti saya katakan kepada pemain bahawa peluang ini semua sama rata.

"Kalau pemain kami (di tahap) tinggi atau bersedia daripada semua aspek, kecergasan, fikiran dan komitmen mereka, saya rasa kami boleh melangkaui kejayaan seperti 2011 apabila kami menang emas di Jakarta. Jadi tak mustahil dan mereka perlu fokus dan bersedia untuk berkorban,” katanya.