Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menggunakan sebanyak tiga kali perkataan 'polish' dalam sidang media kongres FAM semalam bagi menjawab isu kontroversi surat layang yang tular di media sosial sebelum ini.

Dia juga turut berkali-kali menegaskan bahawa FAM tidak sesekali bersifat defensif dalam menangani isu ini selain tidak menafikan beberapa dakwaan yang ada.

"Isu dalam surat ini banyak menyerang setiausaha agung, mungkin individu tersebut mahupun jawatan tersebut tetapi kerana tidak berjaya menyebabkan dia marah dan bertindak sedemikian.

"Saya lihat dia tiada masalah dengan media dan exco kerajaan tetapi mungkin terdapat masalah dengan staf yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Kita tidak bertindak defensif, jika terdapat perkara yang perlu diperbetulkan maka kami akan perbetulkan." katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berasakan walaupun kemelut tersebut telah membawa pelbagai reaksi tetapi dia memilih untuk memaafkan individu yang menghantar surat layang tersebut.

"Walaupun banyak inti tuduhan tersebut tertumpu kepada saya tetapi memandangkan kita sedang berada dalam Ramadan yang mulia ini saya hanya mahu memaafkan individu tersebut." katanya.