Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan mengapa permintaan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, memohon jadual Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diawalkan tetapi ditolak oleh badan induk itu.

Ia bagi menjelaskan dakwaan surat layang tular yang membabitkan skuad utama negara, kelmarin.

Hasrat itu telah disuarakan Pan-gon dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan FAM sebelum berangkat ke Oman untuk kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dengan hasrat agar mengadakan aksi persahabatan antarabangsa, namun menemui jalan buntu kerana FAM tiada daya mengubah jadual yang telah dikeluarkan lebih awal oleh MFL.

"Dia ada minta dan saya cakap bukan tidak boleh. Saya bukan sokong MFL tapi MFL telah buat keputusan awal dan telah pun beritahu kelab.

"Alasannya, dah lewat baru beritahu.




"Saya bukan tak nak tolong dan saya telah berbincang dengan Datuk Ghani Hassan (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) tapi ia telah diumumkan kepada kelab MFL.

"Ini melibatkan MFL, masalahnya dia telah buat persiapan yang telah diumumkan," katanya dalam sidang media selepas Kongres FAM Ke-60 di Subang Jaya, semalam.

Dalam masa sama, Hamidin mengakui tidak dapat melayani tuntutan ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berhubung perlawanan persahabatan.

"Mesti ada benda yang kita boleh bagi, sokong tapi (permintaannya) sudah terlewat.

"KPG ada minta kami untuk mengatur dua perlawanan persahabatan di UAE (Emiriah Arab Bersatu) tapi beberapa kelab tak bagi (lepaskan pemain), tak akan lima orang sahaja yang pergi.

"Saya telah beritahu KPG bahawa saya tak nak lawan kelab, nak lawan negara tapi masa itu bukan kalendar FIFA.

"Kesudahannya, saya tidak boleh arahkannya tukar taktik. FAM dah bayarnya gajinya jadi dialah buat. Kami (cuma) bagi pandangan orang ramai," katanya.

Hamidin merancang untuk bersemuka dengan Pan-gon sama ada esok atau Khamis ini bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit.

"Minggu ini, mungkin Rabu atau Khamis saya akan buka puasa dengannya dan semua pasukan.

"Saya akan tanya apa masalah dengannya semua."