Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi, mendedahkan bahawa badan induk itu dalam proses membentuk jawatankuasa tugas khas untuk menilai dan meneliti keseluruhan dakwaan yang dilontarkan dalam surat layang ke atas Setiausaha Agung FAM baru-baru ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, telah mengeluarkan arahan itu kepada dua timbalannya, iaitu Datuk Yusoff dan Datuk S. Sivasundaram.

"Kami akan mengambil tindakan satu per satu dan mengadakan satu jawatankuasa tugas khas (unit taskforce) yang diketuai oleh Datuk Sivasundaram bagi melihat isu-isu yang berkaitan tuduhan kepada Setiausaha Agung FAM.

"Kita akan berjumpa dengan setiap pekerja dan mendengar luahan mereka". Katanya dalam sesi media bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Dalam pada itu, Yusoff menafikan FAM bertindak pasif berhubung isu surat layang dengan dakwaan salah laku pemimpin tertinggi badan induk itu.

Malah, Yusoff, menegaskan setiap tindakan perlu melalui proses yang telah di tetapkan selain memilih siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum melanjutkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).