Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menyifatkan Fernando Torres sebagai ikon pasukan selepas menjaringkan gol peribadi ke-100 ketika menundukkan Levante, semalam.

Penyerang berusia 34 tahun itu mengesahkan minggu lalu bahawa dia akan meninggalkan pasukan di mana dia menempa nama sebagai penyerang muda suatu masa dahulu, sebaik sahaja kontrak sedia ada tamat pada hujung musim ini.

Bagaimanapun, jaringan voli pada minit ke-77 membuktikan hatinya masih bersama Rojiblancos, membuatkan Simeone berasakan bekas penyerang Sepanyol itu layak menerima pujian.

"Torres adalah ikon di sini, tidak kira dia menjaringkan gol atau tidak," kata Simeone.

"Dia meraih status itu dan dihormati atas usaha kerasnya.

"Apabila saya memanggilnya untuk kembali menyertai kami, saya memberitahunya saya mahukan dirinya sebagai pemain bola sepak, bukan sebagai ikon," tambahnya.

"Persembahan Torres sangat penting untuk seluruh pasukan.

"Kami mencatat tiga jaringan hebat pada hari ini dan melihat semua pemain bermain sebagai satu pasukan adalah sesuatu yang kami inginkan.

"Orang ramai mengambil berat tentang situasi Torres bersama kelab ini dan saya begitu gembira dapat membantunya bersama pasukan ini sekali lagi," ujarnya.